Rabu, 2 Mei 2012

BAHASA KREOL

Bahasa Kreol merupakan bahasa yang sudah menjadi bahasa ibunda serta merupakan bahasa pertama bagi sesebuah keluarga atau pun kelompoknya. Penggunaan bahasa ini tidak terbatas kepada kelompoknya sahaja, malah turut juga ditiru sebutannya oleh masyarakat Melayu yang hidup bersama kelompok penutur tersebut. Menurut R.A. Hudson (1983: 66), menyatakan bahawa bahasa kreol adalah daripada bahasa pidgin yang telah diterima sebagai bahasa natif. Manakala Peter Trudgill pula mendefinisikan bahasa kreol sebagai bahasa pidgin yang telah mempunyai penutur-penutur yang menukarkannya sebagai pertama, seperti yang tersebut dalam bukunya yang telah diterjemahkan oleh Nik Safiah Karim (1984: 234) “Sosiolinguistik Satu Pengenalan”. 

  “Bahasa Kreol ialah bahasa yang bukan berasal daripada bahasa tempatan sesebuah negara tetapi datang dari luar. Ia telah begitu lama digunakan dan menerima unsur-unsur bahasa tempatan. Bahasa itu kemudiannya menjadi bahasa natif atau bahasa ibunda bagi kelompok penutur dalam masyarakat berkenaan.” (Raminah Hj. Sabran & Rahim Syam 1985: 250) Sementara Asmah Haji Omar (1991: 28) pula berpendapat bahawa bahasa kreol adalah bahasa kacukan yang sudah mantap, yang merupakan kacukan daripada sekurang-kurangnya dua bahasa.


Tiada ulasan: